Home SEMASA Larian solo Dr Suwaibah perlu dana AS$1 juta

Larian solo Dr Suwaibah perlu dana AS$1 juta

350
0
SHARE

Larian solo Dr Suwaibah perlu dana AS$1 juta

KOTA BHARU: Pelari solo negara Mej (K), Dr Suwaibah Muhammad Nasir berkata beliau memerlukan dana kira-kira AS$1 juta (RM4 juta) bagi melengkapkan Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia.

Beliau berkata dana itu diperlukan bagi menampung kos yang tinggi termasuk penginapan, tiket kapal terbang, permohonan visa serta perkara berkaitan bagi melengkapkan misi tersebut.

“Setakat ini, saya mendapat penajaan daripada GISB Holding Sdn Bhd yang menaja misi di 14 negara namun syarikat itu hanya memberi penajaan dalam bentuk tiket kapal terbang dan penginapan sahaja selain beberapa penajaan daripada pihak lain.

“Saya jangka dapat menawan empat menara pada setiap bulan namun ia bergantung kepada kelulusan sesebuah negara yang akan dilawati,” katanya kepada pemberita pada Majlis Memperkenalkan Pelari Solo Negara dan Tayangan Perdana Telefilem ‘Meigho’ yang dirasmikan Menteri Pertahanan yang juga Penaung Misi Keamanan Mohamad Sabu.

Hadir sama Pengarah Telemovie ‘Meigho’ Zack Zaideen dan merupakan karya sulung ZZ Karya Production Sdn Bhd.

Suwaibah anak kelahiran Kampung Lubuk Rotan Tawar, Tanah Merah itu berkata beliau akan cuba menghabiskan larian solonya di negara Asia Tenggara dan dalam masa yang sama akan cuba membuat permohonan di negara-negara yang telah ditetapkan.

“Negara yang kurang masalah birokrasi kami akan tempuh dulu dengan mengadakan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan menerusi penglibatan badan bukan kerajaan (NGO).

“Dalam masa terdekat saya akan menawan Menara Ostankino di Moscow, Rusia yang berketinggian 540 meter dan merupakan menara telekomunikasi yang tertinggi di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Zack berkata, tayangan perdana telefilem berkenaan juga bertujuan membantu mengutip dana bagi membantu melengkapkan misi Suwaibah.

“ZZ Karya Production berasa bertanggungjawab untuk menghulurkan sumbangan kepada Suwaibah dan dalam masa yang sama, menerusi tayangan perdana ini, kami juga dapat memperkenalkan beliau kepada masyarakat,” katanya.

Telefilem bergenre seram itu mengisahkan kisah pelacur bernama Jaghoh yang menawan hati pelanggannya dengan memelihara hantu raya dan berkisar mengenai sisi gelap kehidupan masyarakat Kelantan di Biarritz Park atau dikenali oleh masyarakat Kota Bharu sebagai ‘Dalam Show’ sekitar tahun 1960-an. – BERNAMA

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here