Home HIBURAN Watak Juita drama Nur 2 milik Azar Azmi

Watak Juita drama Nur 2 milik Azar Azmi

634
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Teka-teki siapa bakal menggalas watak antagonis, Juita, dalam drama susulan, Nur 2, terjawab hari ini apabila nasib menyebelahi pelakon sedang mencipta nama, Azar Azmi.

Pemilihan pelakon cantik itu disahkan sendiri oleh pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin, kepada BH Online, sebentar tadi.

Azar sebelum ini pernah muncul dalam drama seperti Tiada Arah Jodoh Kita, Cinta Fatamorgana, Isteri Untuk Diiktiraf, Terbaik Dariku dan Pujaan Hati Kanda.

“Kami pada awalnya mencadangkan empat nama pelakon wanita kepada stesen TV3 untuk pertimbangan. Antara nama terbabit termasuk Azar sendiri.

“Daripada hasil perbincangan saya, sebagai wakil produksi Radius One, bersama TV3, kami akhirnya sepakat memilih Azar.

“Kami berasakan dia calon tepat untuk merealisasikan karakter jahat terbabit. Kehadiran watak Juita dilihat mampu menambahkan konflik dan elemen drama dalam Nur 2,” kata Shahrulezad.

Menurut pengarah itu, pencarian pelakon bagi menjayakan watak berkenaan bukan proses yang mudah.

“Sampaikan, ada kalangan teman wartawan yang berseloroh meminta saya mengadakan program Mencari Juita pula.

“Sebelum ini, kami sudah mempunyai dua nama yang dikenali, iaitu Nelydia Senrose dan Nabila Huda, bagi melakonkan watak terbabit. Namun, atas beberapa sebab, kedua-duanya tidak dapat menjayakan projek ini,” katanya.

Drama Nur 2 bakal menyaksikan penampilan pelakon asalnya seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Raja Atiq, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Ia turut menyaksikan penampilan khas Riena Diana, Mathni Razak, Helmi Moin, Kuna dan Zaidi Omar.

Drama berkenaan dijangka ditayangkan pada April depan, dengan mengisi slot Samarinda yang menemui penonton pada jam 10 malam, Isnin hingga Khamis.

Mendapat sambutan hebat penonton ketika ditayangkan pada Ramadan tahun lalu, Nur juga mencipta kejayaan pada Anugerah Skrin (ASK) 2018 dengan tiga anugerah, iaitu Drama Rantaian Terbaik (kategori Bahasa Melayu), Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian (Syafiq Kyle) dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian (Amyra Rosli).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here