Home SEMASA Seksyen 7, Shah Alam diserang ulat hijau

Seksyen 7, Shah Alam diserang ulat hijau

241
0
SHARE

SHAH ALAM: Serangan beribu-ribu ulat yang bersarang di beberapa pokok sekitar Jalan Platinum 7/57, Seksyen 7 di sini, sejak semalam menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Ulat berwarna hijau itu dikesan apabila seorang penduduk yang menggunakan laluan pejalan kaki terkejut selepas ulat itu jatuh di bahunya, sebelum mendapati serangga itu bertaburan di atas jalan.

Namun, ada juga penduduk mendakwa pernah melihatnya sebelum ini, selain mendakwa serangga itu ialah ulat sutera atau ulat beluncas.

Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3, Arizawari Ariffin, berkata beliau menyedari perkara itu ketika berteduh di bawah pokok untuk menunggu anaknya pulang dari sekolah.

“Semasa menunggu untuk mengambil anak petang semalam, seekor ulat jatuh di bahu saya. Pada mulanya saya ingat ia perkara biasa sebab berada bawah pokok.

“Namun, saya terkejut apabila melihat ribuan ulat, termasuk kepompong ada di beberapa batang pokok,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Seorang penduduk, Khairina Khairul Anuar, 35, berkata beliau memberhentikan kereta selepas melihat keadaan pokok di kawasan itu agak pelik serta lain dari yang lain.

“Lebih kurang jam 6.30 petang semalam, selepas beli makanan di gerai berhampiran, saya nampak pokok ini pelik coraknya sehingga membuatkan saya tertanya-tanya corak apa.

“Saya kemudian keluar dari kereta untuk melihat pokok berkenaan. Saya terkejut apabila melihat banyak ulat berwarna hijau muda yang gemuk dan panjangnya lebih kurang ukuran jari orang dewasa.

“Hari ini saya datang lagi, nampaknya ulat ini makin bertambah. Saya khuatir ia boleh membahayakan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata Jabatan Landskap sudah berhubung dengan Jabatan Pertanian Selangor berhubung perkara itu.

“Kita sudah meminta bantuan pihak berkaitan untuk kenal pasti ulat serta punca kejadian ini. Buat sementara waktu, penguatkuasa MBSA akan memantau kawasan serangan ulat ini,” katanya.

Tinjauan NSTP mendapati terdapat sebatang pokok dipenuhi ulat berwarna hijau serta kepompong manakala kira-kira 10 pokok lain mula dipenuhi ulat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here