Home JENAYAH Pasar Selayang kekal sebagai lubuk peniaga haram warga asing

Pasar Selayang kekal sebagai lubuk peniaga haram warga asing

77
0
SHARE

SELAYANG: Biarpun beberapa kali diserbu pihak berkuasa, peniaga warga asing dari Myanmar, Kemboja dan Bangladesh di Pasar Selayang di sini bagaikan tidak terkesan dan masih terus berniaga secara haram.

Tinjauan di pasar borong berkenaan mendapati sekitar kawasan luar pasar itu masih tetap dipenuhi warga asing yang menjalankan perniagaan.

Dianggarkan terdapat lebih 300 gerai dibuka warga asing berkenaan yang bukan saja menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran dan buah-buahan, sebaliknya turut menjual pakaian, barang mainan, perkakas dapur, makanan siap masak selain barangan mentah.

Wartawan difahamkan kebanyakan warga asing ini berniaga tanpa lesen sah dan berani berbuat demikian susulan kehadiran mereka yang ramai.

Mereka akan lari bersembunyi meninggalkan gerai apabila mengesan kehadiran pihak berkuasa yang membuat operasi dan menyambung semula perniagaan selepas tamat operasi.

Salah seorang penduduk tempatan yang ditemui di pasar berkenaan, Abdul Siddik, berkata memang sejak dulu lagi kawasan di pasar itu dimonopoli warga asing khususnya yang berniaga di tepi jalan sepanjang pasar itu.

Abdul Siddik yang mengusahakan kedai makan dan kerap membeli barangan mentah di pasar itu mengakui kawasan terbabit memang tidak pernah sunyi daripada kehadiran warga asing.

“Saya tidak pasti mengenai operasi dijalankan pihak berkuasa kerana sepanjang membeli barangan mentah di sini, pagi atau petang dan boleh dikatakan sepanjang waktu, ia tetap dipenuhi warga asing.

“Pada awal dulu saya pernah membeli barangan mentah daripada mereka kerana harganya murah, namun selepas terbaca bahawa mereka ini mengitar semula barangan berkenaan yang dibuang oleh peniaga tempatan, terus saya berhenti membeli daripada mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Abdul Siddik, beliau tidak kisah dengan kehadiran warga asing yang berniaga di situ, cuma risau mengenai aspek kebersihan serta barangan yang dijual.

“Kebanyakan mereka memang menjual barangan pada harga cukup murah, cuma masalahnya adalah daripada aspek kesihatan sebab jika datang ke kawasan ini, pemandangannya saja sudah cukup menjijikkan.

“Jadi, dengan keadaan persekitaran yang agak kotor, saya tidak pasti adakah barangan dijual mereka selamat untuk dimakan,’ katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Azean Ibrahim, berkata keadaan persekitaran kawasan itu yang dipenuhi warga asing membuatkannya takut untuk membeli di situ.

“Kawasan pasar ini adalah tempat saya untuk membeli barangan dapur, namun masalahnya adalah untuk masuk, kami perlu menempuh deretan kedai warga asing yang memandang kami dengan pandangan semacam.

“Sebagai wanita, keadaan itu memang menakutkan, menyebabkan kami khuatir diganggu,’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here