Home LUAR NEGARA Nelayan Indonesia mendakwa nampak MH370

Nelayan Indonesia mendakwa nampak MH370

292
0
SHARE

SUBANG JAYA: Seorang lelaki warga Indonesia mendakwa menyaksikan sebuah pesawat dalam keadaan berasap dan seolah-olah mendarat di Lautan Sumatera dekat Selat Melaka, ketika sedang menangkap ikan pada pagi 8 Mac 2014.

Difahamkan, pesawat berkenaan dipercayai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada tarikh sama.

Nelayan dari Pangkalan Susu yang terletak di Kabupaten Langkat, Sumatera Utara, Indonesia, Rusli Kusmin, 77, mendakwa pesawat itu bagaimanapun tenggelam sepenuhnya sebelum hilang dari pandangan mata.

“Ketika kejadian saya sedang mengangkat bubu bersama tiga lagi awak-awak di laut. Saya berada di dalam rumah bot sebelum dipanggil seorang kru mendakwa ternampak sebuah pesawat dalam keadaan berasap.

“Pesawat berkenaan dalam keadaan ke kiri dan ke kanan, namun tiada bunyi seolah enjinnya mati. Saya melihatnya dengan mata saya sendiri pesawat itu mendarat di laut sebelum tenggelam, ia tidak terhempas,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Rusli berkata, jarak antara bot dengan lokasi pesawat berkenaan terhempas kira-kira 1.5 kilometer sebelum beliau bersama kru mendekati lokasinya dan mencari titik sebenar ia tenggelam menggunakan sistem komputer untuk mengesan ikan, namun gagal.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor, Profesor Datuk Dr Jacob George menunjukkan gambar lokasi dimana pesawat MH370 terhempas di kawasan Laut Selat Melaka. – Foto Roslin Mat Tahir
“Ketika itu, tiada sebarang objek yang timbul. Selepas beberapa kali mencari, kami kemudian meninggalkan lokasi kerana perlu menangkap ikan, dan selepas tiga hari, kami kembali. Kali ini kami menemui titiknya selepas ternampak satu imej objek besar dan padu dalam sistem komputer kami.

“Saya berpesan kepada rakan kru supaya tidak menghebohkan perkara itu, namun sebaik pulang ke darat, perkara berkenaan tersebar dengan cepat dan bagi mengelak sesuatu yang tidak baik, saya membuat aduan di pejabat konsulat Malaysia Medan.

“Bagaimanapun, aduan saya itu seolah tidak diendahkan kerana saya tidak mempunyai sebarang bukti berhubung insiden. Tiada untung, tiada rugi kepada saya jika mereka tidak percaya kerana saya tidak membuat apa-apa tuntutan,” katanya.

Ketika di akhir pertemuan itu, Rusli memegang sebuah al-Quran sebelum bersumpah dia dan tiga lagi kru menyaksikan insiden berkenaan yang dipercayai pesawat MH370.

“Saya bersumpah dengan al-Quran, saya menyaksikan sendiri pesawat berkenaan dalam keadaan berasap dan bergerak ke kiri, ke kanan sebelum seperti mendarat di air lalu tenggelam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here