Home PENDIDIKAN Maszlee Malik sahkan letak jawatan Presiden UIAM

Maszlee Malik sahkan letak jawatan Presiden UIAM

216
0
SHARE

KLUANG: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengesahkan beliau tidak lagi memegang jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut beliau, surat perletakan jawatan itu telah pun ditandatanganinya dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi universiti berkenaan untuk pelepasan jawatan yang disandangnya bermula bulan September tahun lepas.

“Saya kini bukan lagi Presiden UIAM, surat perletakan jawatan pun telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM termasuklah individu yang bakal menggantikan saya.

“Peletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya sepertimana dilapor Bernama pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja dan memberikan sumbangan kelengkapan klinik di Klinik Kesihatan Simpang Renggam yang turut dihadiri oleh Pakar Perubatan dan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan.

Jelas Maszlee lagi, beliau turut berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu yang bakal menggantikan tempatnya itu.

Beliau turut enggan mengulas tarikh sah perletakan jawatannya itu, selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu yang bakal menggantikannya iaitu bekas Naib Canselor UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sementara itu, semasa lawatannya ke klinik kesihatan berkenaan beliau telah memberikan beberapa kelengkapan untuk kemudahan orang ramai termasuk kerusi menunggu dan alat pendingin hawa.

Katanya, pemberian sumbangan berkenaan adalah susulan daripada gambar dan berita yang diviralkan dalam media sosial mengenai beberapa kemudahan terbabit yang telah uzur serta tidak selesa untuk kegunaan umum.

“Hari ini kita berikan beberapa kemudahan di klinik di sini agar orang ramai terutamanya pesakit akan berada dalam keadaan yang selesa ketika menunggu giliran mereka untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here