Home PENDIDIKAN Guru, Jururawat mengadu tertekan dengan bebanan kerja yang banyak

Guru, Jururawat mengadu tertekan dengan bebanan kerja yang banyak

162
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bidang perguruan, kejururawatan dan khidmat pelanggan, dipercayai kerjaya paling berisiko tinggi menyumbang kepada tekanan dan kemurungan dalam kalangan pekerja wanita, berikutan pelbagai isu seperti terpaksa berulang-alik pada jarak jauh ke tempat kerja.

Berdasarkan tinjauan dalam talian menerusi Facebook, Twitter dan BH Online sejak malam kelmarin sehingga petang semalam, netizen menganggap masalah itu perlu diberi perhatian bagi mengelak senario tidak sihat dalam industri pekerjaan.

Pada masa sama, suri rumah sepenuh masa yang terpaksa menjaga keluarga dan rumah tangga juga berdepan tekanan, sekiranya tidak mendapat sokongan suami atau sosial lain.

Berdasarkan lebih 200 pendapat dilontarkan netizen di BH Online menerusi soalan rawak berkaitan kerjaya yang cenderung menyebabkan tekanan dan kemurungan, kebanyakannya mendakwa tugas sebagai guru dan jururawat paling tertekan.

Mereka berpendapat, sesetengah pekerja wanita terpaksa berulang-alik ke tempat kerja dengan jarak jauh, serta terpaksa tinggal berasingan dengan suami kerana bekerja di daerah berbeza.

Netizen yang menggunakan nama Cikpia berkata, lambakan kerja di luar jangkaan menjadikan tugas sebagai guru kerap menimbulkan tekanan sehingga menjurus kepada kemurungan.

Seorang lagi netizen, Azizi Maamor pula meninggalkan komen, kerjaya sebagai guru dianggap cenderung tertekan disebabkan mereka perlu berhadapan dengan murid nakal, manakala Faridzul Anuar pula berpendapat, bidang perguruan dilihat mudah terdedah kepada tekanan.

“Cikgu kot, ada nampak ramai cikgu jumpa pakar sakit jiwa,” katanya yang meninggalkan komen di laman Facebook BH Online.

Kerjaya guru dan jururawat memerlukan kesabaran tinggi melayani kerenah pelajar serta pesakit. – Foto hiasan
Netizen yang menggunakan nama Tashfiah Anisa pula berpendapat, semua bidang kerjaya boleh menyebabkan tekanan apabila terpaksa berjauhan dengan suami, seperti bekerja sebagai jururawat.

“Oleh itu, mohon Kementerian Kesihatan cepat-cepat uruskan pertukaran jururawat, takkan sampai suami cari lain baru nak dapat tukar,” katanya.

Sementara itu, ramai netizen juga berpendapat suri rumah sepenuh masa tidak terkecuali berdepan kemurungan dan tekanan, berikutan bebanan tugas yang terlalu banyak.

Hafiza Mohd Hazli memberi komen, sikap suami yang ‘berat tulang’ dalam membantu menguruskan keluarga juga dikatakan menjadi punca isteri mudah mengalami kemurungan.

Komen berkenaan dipersetujui Awan Nurani yang berpendapat, suami perlu membantu isteri dalam soal menguruskan keluarga bagi mengurangkan beban isteri.

“Suami asyik main telefon saja, sedar-sedar hilang, keluar jumpa kawan. Saya bercakap tengok pengalaman, mata yang melihat dan telinga yang mendengar,” katanya.

Sementara itu, netizen yang menggunakan nama Fariq Shaari Pauzeli berkata, sokongan suami penting untuk memastikan wanita berada dalam keadaan baik.

“Perempuan akan OK (baik) saja selagi dapat perhatian daripada suami. Jenis dapat suami ‘bebal’ yang menjadikan kaum isteri kemurungan,” katanya.

Ketua Jabatan dan Pakar Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Ahmad Hatim Sulaiman.
Sementara itu, Ketua Jabatan dan Pakar Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Ahmad Hatim Sulaiman, berkata wanita cenderung mengalami kemurungan berbanding lelaki kesan daripada faktor perubahan hormon, budaya dan tanggung jawab yang mencabar.

Jenis kerjaya boleh menyebabkan kemurungan, tetapi ia bukan satu-satunya punca utama kerana faktor lain seperti persekitaran kerja dan kerenah ketua juga menyumbang kepada tekanan.

“Masalah juga boleh berpunca dari dalam rumah itu sendiri seperti tiada sokongan keluarga terutama suami dan kekangan kewangan,” katanya.

Katanya, wanita perlu bijak mengatasi tekanan yang berisiko menyebabkan masalah lebih serius, seperti kemurungan dengan mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga terdekat atau meluahkan masalah dihadapi dengan rakan yang boleh dipercayai.

Menjalani hidup sihat, termasuk pemakanan dan bersenam secara tetap dapat meredakan tekanan yang dihadapi, seterusnya mencegah daripada masalah mental seperti kemurungan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here