Home PENDIDIKAN “Awak nak baju baru?” Terus dia tersenyum ceria. Mata bersinar, kepala dianggukkan...

“Awak nak baju baru?” Terus dia tersenyum ceria. Mata bersinar, kepala dianggukkan bertalu-talu.

146
0
SHARE

“Awak nak baju baru?” Terus dia tersenyum ceria. Mata bersinar, kepala dianggukkan bertalu-talu.
SAAT kawan-kawan lain menikmati hari pertama persekolaha dengan pakaian dan kelengkapan serba baharu, ada hati yang masih kental berbaju lama.

Ada sesetengah murid yang amat memahami kesusahan keluarga dan akan sanggup untuk memakai pakaian kakak atau abang mereka.

Kentalnya hati murid tahun satu ini menempuh alam baharu dia seperti dikongsikan gurunya, Mohd Fadli Salleh semalam.

Menerima khabar seorang murid tahun satu ke sekolah sejak hari pertama memakai baju usang milik kakaknya.

Hari ini aku ke dewan mencari murid tersebut. Terselit di celah ratusan murid lain, seorang murid perempuan menyorok malu.

Bila aku pandangnya, dia segera mengalih pandangan ke tempat lain. Malu…

Aku panggil dia, segan-segan dia datang. Baju tudungnya kekuningan. Sedikit besar berbanding saiz badannya.

“Ni baju siapa?”

“Kakak,” jawabnya sambil menunduk malu.

“Awak tak ada baju baru?”

Kepala digelengkan. Matanya masih tidak memandang mata aku.

“Awak nak baju baru?”

Tersentak anak ini dengan persoalan itu. Terus matanya memandang ke dalam mata aku meminta kepastian apa benar pertanyaan aku itu serius atau main-main.

Aku senyum dan mengangguk kepala. Seolah menjawab persoalan di dalam kepalanya.

Terus dia tersenyum ceria. Mata bersinar, kepala dianggukkan bertalu-talu.

Baru aku tanya, seronok hatinya bukan main. Seolah dunia dan segala isinya ini milik dia. Padahal seorang guru hanya menawarkan sepasang persalinan baru untuk anak kecil ini.

Meja aku, sentiasa ada pakaian baru, tudung-tudung, beg sekolah baru, alat tulis, malah kasut baharu.

Sentiasa ada untuk kes sebegini.

Minggu lepas aku sangat kurang sihat untuk memantau persiapan murid tahun satu dan murid sesi petang khususnya.

Minggu ini aku akan mula bergerak mengesan murid yang masih ke sekolah dengan pakaian buruk dan lusuh milik abang atau kakak mereka tahun lepas.

Aku tidak mampu membantu banyak. Namun sedikit itu pun sangat baik asalkan istiqomah.

Saat ramai masih berdegil dan mempertikaikan sumbangan PIBG yang tidak seberapa. Saat ini masih ramai murid ke sekolah dengan hanya berbaju lusuh sahaja.

Sesungguhnya Tuhan tidak hanya menguji mereka dengan kemiskinan semata. Tuhan juga menguji kita apa kita cakna atas lihat saja.

Sesungguhnya itulah yang sebenarnya.

#DanaKITA
#MFS

– Suatu Isnin yang menggembirakan satu hati – FB : Cikgu Mohd Fadhli Salleh
__________________________________

Nana

Malam ini ziarah rumah Nana. Anak solehah yang menjaga ibu lumpuh saat ayah meninggalkan mereka sendirian mengharungi keperitan hidup sejak Nana berusia 10 tahun lagi.

Aku pergi bertanya khabar berita tentang persiapan persekolahan Nana yang dah masuk Tingkatan 2 tahun ini.

“Bagaimana persiapan persekolahan? Semua dah lengkap?”

“Semua dah ada cikgu. Pakaian sekolah ada dua pasang dah yang cikgu bagi akhir tahun lepas. Cuma tadi Nana ke BSN nak ambil biasiswa dia, tapi tak dapat. Entah kenapa tak dapat keluarkan duit.

Buku aktiviti Matematik, duit bumbung dan yuran PIBG belum dibayar. Yang lain semua settle dah. Terima kasih banyak cikgu,” balas Nana.

Malam ini aku tak bawa barang dapur. Aku bawa coklat untuk Nana. Gembira bukan main dia dapat sekotak Kit Kat, coklat Kisses dan Ferrero Rocher.

Sesekali ziarah, aku memang bawakan coklat mahal. Biar dia merasa. Harap nak beli sendiri, memang tak beli dah aku rasa.

Entah bila kali terakhir dia rasa makan coklat mahal dan sedap. Agaknya yang aku bawa pertengahan tahun lepas itulah kali terakhir agaknya.

Biarlah sekali sekala aku gembirakan hati anak ini. Sejak usia 10 tahun dia sudah menelan air mata ditinggal ayah dan perlu memandikan ibu yang lumpuh setiap hari.

Saban hari sering lewat ke sekolah untuk menyiapkan ibu dahulu. Mandikan, suap makan minum, malah basuh kencing berak

Ya, usia 10 tahun tuan-tuan umurnya saat diuji sebegitu getir. Kering air matanya menangisi nasib diri dan ibu masa tu.

Semua itu menjadikan anak ini tabah dan kuat. Dan anak ini, antara sasaran wajib aku hampir setiap bulan.

Malam ini, aku kiriman beberapa buah buku diari yang masih elok dan tidak digunakan. Juga beberapa pendrive untuk kegunaannya jika ada projek berkaitan dengan multimedia.

Sebelum beredar, aku kirim duit untuk dia langsaikan bayaran-bayaran persekolahan yang tertunggak. Tidak lupa sedikit wang belanja dan kiriman zakat untuk ibunya yang lumpuh separuh badan.

Ucapan terima kasih, syukur dan doa bertalu-talu diucapkan. Bukan hanya untuk aku, tapi untuk kalian juga yang sering mengirim sumbangan melalui Dana Kita.

Terima kasih semua. Malam ini, anak tunggal dan ibu lumpuh ini dapat kita gembirakan hati mereka.

Tidaklah banyak, namun sangat bermakna bagi yang tiada apa.

#MFS
– Hidup ini bukan hanya tentang kita –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here