Home POLITIK Waytha Moorthy kambing hitam?

Waytha Moorthy kambing hitam?

90
0
SHARE

Waytha Moorthy dikambing hitam?DAKWAAN Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) kononnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dijadikan ‘kambing hitam’ sengaja mahu menimbulkan persepsi politik dalam kalangan masyarakat.

Ketua Sekreteriat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya, berkata, kenyataan HINDRAF itu seolah-olah mahu meraih simpati masyarakat bahawa pengerusi pertubuhan itu adalah ‘mangsa sebenar’ politik perkauman dan agama.

Beliau berkata, soalnya sekarang bukan masalah siapa ‘kambing hitam’ dan perkauman, tetapi ialah penghinaan terhadap undang-undang negara.

“Mereka ini bukan tak faham tetapi sengaja tidak mahu faham. Biasalah, kenyataan HINDRAF itu hanyalah untuk lindung dan pertahan bosnya.

“Pertama, bagi UMMAH, kita lihat dari segi undang-undang atau rule of law. Sebab apa yang berlaku bercanggah dengan keputusan mahkamah. Kuil masih di situ, tak perlu pindah. Itu dianggap penghinaan terhadap mahkamah.

“Kedua, beliau salahkan pihak keselamatan atau pihak polis kerana lambat ke tempat kejadian. Ia langsung tidak betul dan IGP (Ketua Polis Negara) pun sudah nafi dakwaan itu.

“Jadi, isu ini bukan isu kambing hitam atau masalah perkauman. Kalau orang lain fikir begitu, tidak bagi UMMAH kerana bagi perspektif kita bukan macam itu,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan HINDRAF yang mendakwa Waytha Moorthy dijadikan ‘kambing hitam’ dalam politik perkauman dan agama, susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dakwaan itu dibuat Penasihat Perundangan HINDRAF, Karthig Shan, yang dipetik berkata, politik perkauman dan agama digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu dengan mengaitkan kematian tragik Adib.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam.

Dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, akhir bulan lalu, Waytha turut mengeluarkan kenyataan menyalahkan polis kerana didakwa tidak mengendalikan isu itu dengan baik.

Sementara itu, pemergian Muhammad Adib yang ditangisi seluruh negara dipercayai turut menjadi punca banyak pihak mula mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan atau dipecat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here