Home SEMASA Gadis hilang menjelang majlis perkahwinan Ahad ini

Gadis hilang menjelang majlis perkahwinan Ahad ini

234
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang gadis dilaporkan hilang menjelang majlis perkahwinannya yang akan berlangsung di Kampung Pandan, di sini, Ahad ini.

Chef pastri, Nur Izuana Atikah Mohd Ridzuan, 22, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Pandan, di sini, kira-kira jam 8 pagi, Rabu lalu.

Menurut ayahnya, Mohd Ridzuan Makip, 47, anak sulungnya itu keluar rumah untuk bertemu rakannya bagi menyampaikan kad jemputan perkahwinan kepada mereka di Bangsar, di sini.

Katanya, pada hari kejadian, dia sendiri yang menghantar Nur Izuana ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa untuk ke Bangsar, bagi bertemu rakannya.

“Kira-kira jam 3 petang, saya cuba menghubunginya melalui panggilan telefon, namun telefon bimbitnya dimatikan. Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan bateri telefon bimbitnya mati.

“Bagaimanapun, saya bertambah cemas apabila usaha menghubunginya sejak selepas waktu Maghrib, Rabu lalu hingga tengah malam, masih gagal sebelum kami membuat laporan di Balai Polis Hulu Kelang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, dia mengesyaki kehilangan Nor Izuana ada kaitan dengan seorang lelaki berusia 20-an yang pernah berkawan dengan anak perempuannya itu.

“Sebelum ini, hubungan anak dengan bakal suami elok saja sejak mereka bertunang Januari lalu. Namun, pada Mei lalu, anak memaklumkan dia ‘tawar hati’ dengan tunangnya sebelum saya mendapat tahu dia berkawan rapat dengan lelaki terbabit.

“Kami (ahli keluarga) ada membawa anak berjumpa dengan ustaz bagi mendapatkan rawatan secara Islam kerana mengesyaki lelaki terbabit ada menggunakan ilmu hitam terhadap Nur Izuana.

“Selepas rawatan itu, dia kelihatan ‘pulih’ dan setuju untuk meneruskan perkahwinan dengan tunangnya,” katanya yang memaklumkan anak perempuannya itu tidak pernah bertindak sedemikian sebelum ini.

Katanya, dia sudah berbincang dengan ahli keluarga terdekat termasuk keluarga tunang Nur Izuana mengenai majlis perkahwinan mereka yang balak berlangsung, Ahad ini.

“Besar harapan kami supaya Nur Izuana ditemui dalam keadaan selamat sebelum majlis perkahwinannya, Ahad ini. Seboleh-bolehnya, kami mahu majlis perkahwinan itu berjalan lancar seperti dirancang.

“Namun, sekiranya dia masih belum ditemui, kami terpaksa menangguh majlis itu. Diharap orang ramai yang ada maklumat mengenai Nur Izuana menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here