Home SEMASA ‘Bayi berhenti menangis bila dipeluk, dukung’

‘Bayi berhenti menangis bila dipeluk, dukung’

186
0
SHARE

“KEADAAN tenang menjadi kecoh apabila beberapa orang jemaah terdengar tangisan bayi malam tadi,” kata salah seorang jemaah Surau Al-Ittifaq AU1A/3E, Taman Keramat Permai, Ampang.

Dia yang mahu dikenali sebagai Wan berusia 50-an berkata ketika kejadian itu, jemaah sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak.

Katanya, tangisan bayi itu terhenti selepas beberapa jemaah yang mendekatinya mendukung dan memeluk bayi berkenaan.

“Bayi itu ditemui jemaah di dalam kotak di kawasan lapang di belakang tandas surau.

“Pegawai perubatan yang tiba kemudian mengesahkan bayi itu sihat dan cukup sifatnya.

“Setahu saya, bayi itu kemudian diserahkan kepada pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), kita doakan bayi itu sentiasa dilindungi Allah dan dijaga dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi,” katanya ketika ditemui NSTP di rumahnya berdekatan surau itu, hari ini.

Wan berkata, kes penemuan bayi itu adalah yang pertama di kawasan terbabit.

Menurutnya, dia mengesyaki ibu kandung bayi itu orang luar, namun ia hanya sekadar pendapat.

“Biar polis siasat perkara itu. Dalam hal ini, saya bersyukur ibu bayi itu tidak bertindak membuang anaknya, malah meletakkannya di dalam kotak dalam keadaan baik dan terurus bersama lampin dan susu,” katanya.

NSTP melaporkan bayi lelaki yang lengkap berpakaian dan masih hidup itu ditemui jemaah surau terbabit pada 8.56 malam tadi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata pihaknya kemudian mengarahkan anggota kereta peronda ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya membawa bayi itu ke Hospital Ampang untuk rawatan dan pemeriksaan selepas mengesahkan bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat.

“Bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Zon Kuning,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here