Home POLITIK Wan Saiful mohon maaf gagal hapus PTPTN

Wan Saiful mohon maaf gagal hapus PTPTN

130
0
SHARE

KUALA LUMPUR : Penulis Buku Harapan, Wan Saiful Wan Jan, hari ini, secara terbuka memohon maaf kerana gagal menepati janji menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN, berkata agensi itu sudah cuba mencari mekanisme terbaik untuk merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH), namun gagal.

“Saya antara yang terbabit menulis janji manifesto PH. Saya yang bertanggungjawab dalam hal ini, termasuk janji menangguhkan pembayaran semula oleh peminjam yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

“Saya mohon maaf kepada rakyat. Ketika itu (merangka manifesto), saya tidak tahu hutang negara dan PTPTN sangat besar.

“Hutang PTPTN (ketika itu) hampir RM40 bilion, dan jika janji ini diteruskan, hutang PTPTN akan menjadi bebanan besar kepada negara,” katanya.

Beliau membuat permohonan maaf terbuka itu ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan 2018, di sini, hari ini.

Wan Saiful menjelaskan pengurusan PTPTN sudah lama berusaha untuk menyelesaikan hutang PTPTN namun tidak berjaya.

“PTPTN sudah lama nak (cuba) menguruskan PTPTN. Di sini, saya ingin menzahirkan kekaguman kepada pengurusan PTPTN kerana kesungguhan menyelesaikan isu ini,” katanya.

Wan Saiful berikrar untuk cuba menepati janji mengurangkan beban peminjam yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

Selain itu, beliau menggesa pucuk kepemimpinan parti gabungan PH mengadakan mesyuarat meja bulat untuk membincangkan hala tuju janji manifesto parti politik itu.

“Sudah sampai masanya rakan PH dalam kerajaan mengambil keputusan tuntas berhubung janji manifesto.

“Sudah sampai masanya, semua pucuk pimpinan parti duduk berbincang, janji mana boleh dicapai segera, janji mana yang perlu dilihat semula atau dibatalkan sepenuhnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here