Home POLITIK Petisyen bukan satu arahan untuk letak jawatan – PM

Petisyen bukan satu arahan untuk letak jawatan – PM

179
0
SHARE

SERDANG: Rakyat boleh membuat petisyen, tapi ia bukan satu arahan untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorty meletak jawatan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Waytha Moorty perlu diberi peluang kerana pemimpin itu baru memulakan tugas sebagai menteri.

“Kita semua ada latar belakang, macam saya dulu parti UMNO, jadi takkan kerana saya dulu parti UMNO saya tidak boleh masuk Pakatan Harapan.

“Masa itu dia (Waytha) amat kecewa dan dia buat kenyataan, dia nak tunjuk dekat orang asing bahawa di Malaysia ini tidak ada keadilan.

“Sekarang ini dia ada dalam kerajaan dan tidak lagi pegang kepada apa yang dia kata dulu. Macam saya dulu orang panggil maha zalim, mereka sekarang terima maha zalim sebagai pemimpin, jadi ada pertukaran ikut masa.

“Rakyat boleh buat petisyen, tapi petisyen itu bukan satu arahan untuk dia letak jawatan, anda pun boleh buat petisyen minta saya berhenti jadi Perdana Menteri dan jawab soalan anda,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas usaha pihak tertentu yang mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan susulan penularan lama beliau yang dirakam 10 tahun lalu, mendakwa berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia.

Susulan isu itu, setakat Selasa lalu petisyen mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditandatangani seramai 151,171 orang.

Digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS), petisyen menerusi tandatangan di atas talian Change.org, petisyen itu dilancarkan atas beberapa faktor, antaranya kerana tindakan Waytha Moorthy memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa dengan menyebarkan fitnah bahawa kononnya rakyat beragama Hindu di negara ini ditindas.

Pemimpin Hindraf terbabit juga berkeras mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD); gagal untuk mengawal ketegangan kaum yang semakin memuncak sejak kebelakangan ini walaupun diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri serta mempunyai latar belakang yang agak kontroversi.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Waytha Moorty melantik barisan pegawainya dari kalangan anggota Hindraf dan tidak mencerminkan kepelbagaian kaum, Dr Mahathir berkata, Waytha Moorty berhak melantik sesiapa sahaja untuk membantunya dalam melaksana tugas.

“Dia akan lantik orang yang dia kenal, takkan dia nak lantik yang tidak dikenalinya, dan kebanyakan orang yang dia kenali dari Hindraf atau komuniti India,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here