Home SEMASA ‘Perokok juga manusia, bukan sampah sarap’

‘Perokok juga manusia, bukan sampah sarap’

292
0
SHARE

Tiga persatuan yang mewakili lebih 20,000 pengusaha restoran di negara ini mengadakan demonstrasi aman di depan bagunan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) sebagai membantah larangan merokok di semua restoran dan premis makanan.

Tiga persatuan terbabit ialah MSCSPGA, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas).

Mereka menganggap keputusan yang dibuat kerajaan sebagai melucutkan hak mereka selaku pemilik perniagaan untuk membuat keputusan.

Presiden MSCSPGA, Ho Su Mong, berkata Kementerian Kesihatan sepatutnya mendapatkan pandangan mereka terlebih dulu sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Kedai makan kami bukan milik majlis perbandaran mahupun kerajaan.

“Kami membina perniagaan dengan penat lelah. Oleh itu bukankah pandangan kami lebih penting daripada pihak-pihak tidak berkenaan.

“Perokok juga manusia, bukan sampah sarap,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Perniagaan akan terjejas

Walaupun begitu Ho mengingatkan pendirian tersebut bukan bermakna persatuan terbabit menggalakkan pelanggan merokok, cuma mereka mahu semua pihak mendapat hak masing-masing.

“Kami tidak meminta pelanggan untuk merokok. Sebaliknya, kami hanya inginkan hak untuk menyediakan khidmat bagi kedua-dua jenis pelanggan iaitu yang merokok dan tidak merokok,” katanya.

Kementerian Kesihatan pada 11 Oktober lalu memaklumkan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, yang berkata cadangan berkanaan sudah pun diluluskan di peringkat parlimen dan akan mula dikuatkuasakan tahun depan.

Menurut Lee, arahan larangan merokok di premis makanan itu membabitkan semua restoran dan warung-warung makanan di tepi jalan.

Katanya, arahan itu sudah lama wujud namun hanya membabitkan restoran-restoran tertentu saja. Justeru kata Lee kali ini semua restoran dikenakan arahan sama sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Sementara itu Presiden Primas, T Mutusamy, menyifatkan keputusan yang dibuat kerajaan bakal menjejaskan perniagaan mereka.

Katanya, kerajaan perlu mengambil kira kesan yang akan diterima peniaga sekiranya melaksanakan larangan berkenaan dan berharap agar arahan tersebut dikaji semula.

Tambahnya lagi, di negara-negara luar, kerajaan mereka menyediakan tempat khusus bagi perokok tanpa diskriminasi selain turut membenarkan perokok merokok di kedai-kedai makan terbuka.

Sementara itu, Ho berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada kementerian berkenaan bagi mengadakan pertemuan untuk mencari penyelesaian ‘menang-menang’ berhubung perkara itu.

Jelasnya, pengusaha restoran dan kedai makan amat berharap agar ruangan khas dapat disediakan di restoran mereka untuk pelanggan yang merokok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here