Home POLITIK Penganjur Himpunan Bantah ICERD belum mohon permit

Penganjur Himpunan Bantah ICERD belum mohon permit

139
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Belum ada permohonan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan raksasa bagi membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka, bulan depan.

Menteri Wilayah Khalid Abd Samad, berkata penganjur perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa dan pihaknya hanya mengetahui perkara itu melalui media sosial.

“Setakat ini kita tidak terima apa-apa permohonan untuk mengadakan perhimpunan itu. Jadi kita tunggu untuk mengetahui siapa penganjur dan tujuannya sebelum memberikan pandangan.

“Jadi saya harap kalau penganjur serius nak buat suatu perhimpunan mereka seharusnya membuat permohonan rasmi dengan menyertakan segala maklumat yang diperlukan,” katanya kepada media selepas merasmikan Art In The City iaitu pameran visual seni secara paparan luaran di sekitar Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas satu perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan ahli PAS dan UMNO yang akan diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah, Perak dilapor berkata, perhimpunan itu bertujuan menyatakan bantahan orang Melayu dan Islam terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang dikatakan mahu meratifikasi atau mengesahkan ICERD.

Sementara itu, Khalid menegaskan secara dasarnya kementerian tidak menghalang penganjuran perhimpunan aman di ibu negara.

“Namun, kita perlu melihat permohonan dahulu, apa tujuan mereka dan siapa di sebaliknya sebelum mempertimbangkan.

“Berkaitan lokasi perhimpunan di Dataran Merdeka, kita kena tanya polis, mungkin mereka akan beri nasihat. Sebab saya dengar (membabitkan) ramai orang, mereka nak bawa sejuta orang. Kalau benar boleh rosak Dataran Merdeka.

“Kecuali dua hingga tiga ribu orang, mungkin boleh muat, jika tidak mungkin perlu beri lokasi lain,” katanya.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here