Home HIBURAN Itu watak penunggang agama’

Itu watak penunggang agama’

179
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Watak penjahat berserban dalam filem Polis Evo 2 bukan bertujuan memberi gambaran negatif terhadap agama Islam.

Sebaliknya, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu & Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, watak itu mewakili golongan yang berselindung di sebalik agama demi kepentingan diri, seperti yang banyak berlaku.

“Kami percaya golongan penunggang agama memang ada. Watak itulah yang kami paparkan dalam filem ini.

“Sebagai negara yang menentang keganasan dan golongan ekstremis agama, filem ini dibuat untuk menyampaikan mesej itu. Kita beritahu bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang mampu menggugat keselamatan dan keharmonian negara,” katanya pada sidang media majlis pra tonton filem Polis Evo 2 di sini, malam tadi.

Hadir sama pengarah filem itu, Joel Soh dan Andre Chiew serta barisan pelakon iaitu Shaheizy Sam, Zizan Razak, Raline Shah, Hasnul Rahmat, Erra Fazira, Tanta Ginting,, Riz Amjn dan Syafie Naswip.

Watak Hafsyam Jauhari atau Saif, penjahat berserban itu dilakonkan Hasnul.

Mengenai ura-ura pihak tertentu memboikot Polis Evo 2, Khairul menyarankan mereka menontonnya sebelum membuat tindakan melulu.

“Sejak isu ini tercetus, kami menerima banyak maklum balas positif daripada pelbagai pihak yang percaya filem ini tidak seperti yang didakwa netizen.

“Sebelum membuat sebarang andaian, adalah lebih baik menonton filem ini terlebih dulu. Saya yakin dalam filem ini tidak ada langsung babak yang didakwa itu,” katanya yang menafikan isu terbabit timbul angkara sabotaj.

Sejak beberapa hari lalu, tercetus kontroversi susulan perkongsian di media sosial mendesak penonton memboikot filem Polis Evo 2 yang didakwa menampilkan imej umat Islam sebagai pengganas.

Semalam, Lembaga Penapis Filem (LPF) mengesahkan filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama produksi Indonesia, SCM tidak mengandungi sebarang elemen yang boleh ditafsirkan sebagai memberi imej buruk terhadap agama Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here