Home POLITIK Dek Kerana Janji Palsu PH, BN Tumbang – Najib Razak

Dek Kerana Janji Palsu PH, BN Tumbang – Najib Razak

223
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tetap mempertahan dirinya bukan punca UMNO dan Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya, bekas Pengerusi BN itu berkata dakwaan dan janji palsu yang dibuat Pakatan Harapan (PH) adalah punca BN tewas.

“UMNO, BN tidak ada apa-apa yang salah. Kita kalah sebab penipuan, kalah kepada fitnah dan kalah kepada janji palsu.

“Saya percaya, dia telah mainkan kepala pengundi, orang muda kena kencing (tipu), rakyat kena kencing, pemandu teksi kena kencing dan pegawai kerajaan kena kencing.

“Bila jadi macam itu, mereka tidak nampak kebaikan UMNO, BN. Kita buat segala-galanya,” katanya dalam sesi santai bersama penyokong tegarnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Bekas Perdana Menteri turut berkata individu di bawahnya ketika menerajui pentadbiran kerajaan dan parti juga menjadi penyebab kekalahan BN.

Menurut Najib, menjadi tanggungjawab apabila parti tewas, ketua harus meletak jawatan.

“Bila ada pilihan raya, kita kalah ketua kena letak jawatan walaupun bukan salah ketua sepenuhnya.

“Di bawah-bawah ini pun banyak salah juga. Di bawah-bawah ini pun banyak yang kelentong, bawah-bawah ini pun banyak perbuatan songsang.

“Tetapi, tak apalah itu amalan demokrasi… ketua kena terima tanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, ramai pemimpin UMNO termasuk bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin, mengakui beliau sepatutnya berterus terang kepada Najib bukannya melindunginya berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menyebabkan BN tewas pada PRU lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, pula menyifatkan Najib yang kini berdepan tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan skandal 1MDB sebagai “beban” yang tidak lagi boleh dipikul parti itu berikutan kecundangnya BN pada PRU-14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here