Home POLITIK Bajet 2019: Dana RM1 Billion Untuk Pembelian Rumah Pertama – Lim Guan...

Bajet 2019: Dana RM1 Billion Untuk Pembelian Rumah Pertama – Lim Guan Eng

117
0
SHARE
Dana RM1 Bilion Untuk Pembelian Rumah Pertama

Bank Negara akan menyediakan dana RM1 bilion untuk membiayai pembelian rumah pertama bagi golongan berpendapatan bulanan tidak lebih RM2,300, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata dana tersebut akan disediakan bermula 1 Jan tahun depan untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.

“Dana ini tersedia di Ambank, CIMB Bank, Maybank, RHB bank dan Bank Simpanan Nasional  melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5 peratus.

“Ini akan mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah dan seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’,  di Dewan Rakyat hari ini.

Lim berkata dana itu disediakan untuk tempoh dua tahun atau sehingga peruntukan habis.

Bagi pembeli rumah pertama yang bernilai sehingga RM500,000 pula, Lim berkata  kerajaan akan memberikan pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Pengecualian duti setem itu dilaksanakan  bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020, katanya.

Sementara itu, bagi membantu pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah sehingga RM5,000, kerajaan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Berhad untuk menyediakan jaminan pajak gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan lebih tinggi termasuk bayaran deposit.

“Langkah ini dijangka memberi penjimatan kos antara tujuh hingga 11 peratus kepada pembeli rumah selain daripada apa-apa potongan diskaun yang ditawarkan oleh pemaju,” katanya.

Sementara itu, bagi membantu penjawat awam memiliki kediaman yang diimpikan, kerajaan akan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di Lembaga Pembiayaan Sektor Awam dengan pembiayaan pertama dilanjutkan kepada 35 tahun berbanding 30 tahun sekarang dan pembiayaan kedua dilanjutkan dari 25 tahun kepada 30 tahun.

Selain itu, Lim berkata kerajaan juga memperuntukkan RM400 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan yang dikenal pasti bagi memastikan penjawat awam terutamanya polis, tentera dan guru dapat mendiaminya dengan selesa.  – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here