Home SEMASA Anggota bomba cedera, jentera rosak diserang perusuh di kuil

Anggota bomba cedera, jentera rosak diserang perusuh di kuil

453
0
SHARE

SUBANG JAYA: Seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi.

Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi sebaik mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Katanya, mangsa datang ke lokasi bersama beberapa lagi anggota BBP Subang Jaya bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh.

“Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, jentera FRT milik BBP Subang Jaya turut mengalami kerosakan apabila perusuh bertindak memecah cermin hadapan serta belakang selain cermin tingkap jentera di sisi kiri dan kanan.

“Serangan itu juga turut menyebabkan pintu belakang tercabut, keempat-empat tayar jentera pecah di cucuk objek tajam selain kerosakan lain pada bahagian badan jentera yang kemek dipercayai dipukul objek keras,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut jurucakap lagi, susulan serangan itu, anggota tidak dapat memadamkan kenderaan yang dibakar dan anggota bomba di lokasi kejadian diselamatkan beberapa orang awam ketika kejadian berlaku.

“Anggota berkenaan kini berada di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan dialami.

“Manakala jentera bomba yang dirosakkan sudah dibawa ke Balai Polis USJ8 bagi membolehkan siasatan di lakukan oleh polis,” katanya.

Sementara itu, keadaan di sekitar kuil itu dilaporkan tenang apabila kumpulan perusuh dianggarkan berjumlah kira-kira 1,000 orang bertindak bersurai dari lokasi sekitar jam 4.45 pagi tadi.

Malah, sehingga jam 8 pagi tadi, hanya terdapat beberapa individu berada di dalam kuil berkenaan dipercayai bagi menjalankan upacara keagamaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here