Home POLITIK Anak Guan Eng tampil bela bapanya dikecam tidur

Anak Guan Eng tampil bela bapanya dikecam tidur

255
0
SHARE

Walaupun Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendapat kritikan kerana gambarnya dengan mata terpejam di parlimen, namun salah seorang anak beliau tampil membela bapanya yang dikecam tidur itu.

Marcus Lim, anak ketiga Guan Eng berkata bapanya telah berusaha keras untuk menyelesaikan masalah hutang Malaysia dan memulihkan semula negara tetapi ini menyebabkan beliau tidak mendapat rehat yang mencukupi.

“Bagi sesetengah orang, mereka mungkin berfikir jawatan menteri kewangan itu glamor, tetapi bagi saya tugas itu menjadi tekanan tanpa henti kepadanya.

“Selama enam bulan ini, saya telah melihat beliau bekerja tanpa henti dari 8 pagi hingga 11 malam, tujuh hari seminggu. Saya tidak tahu jika beliau dapat tidur nyenyak lapan jam sehari sejak Mei tahun ini. Kadang-kadang beliau terlepas makan tengah hari atau makan malam kerana menghadiri mesyuarat atau hanya untuk menyelesaikan timbunan kerja di pejabat.

“Semasa tempoh sebelum belanjawan baru-baru ini, pada suatu ketika beliau hanya dapat tidur selama tiga jam sehari untuk sepanjang minggu. Beliau bekerja dengan pasukannya sehingga larut malam dan terpaksa bermalam di pejabat untuk menyediakan belanjawan pertamanya.

Mata tidak berapa sihat

“Beliau mahu memastikan semua orang akan mendapat faedah walaupun kerajaan mempunyai dana yang terhad,” katanya pada suatu hantaran Facebook hari ini.

Marcus mengulas Setiausaha Agung Umno Annuar Musa yang menyelar Lim yang didakwa tidur ketika wakil BN membahaskan Belanjawan 2019.

Annuar bahkan memuat naik gambar Lim yang bersandar di kerusi dengan mata terpejam di Twitter beliau hari ini.

“Shadow MenKew BN (menteri kewangan bayangan BN) sedang membahaskan Bajet 2019 mengemukakan Initiatif Ekonomi Rakyat(IER) / bajet alternatif.

“MenKew kerajaan tertidur… atau terus tidur?” tulisnya.

Berdepan kecaman tidur dalam parlimen, menteri kewangan menjelaskan matanya tidak berapa sihat.

“Mata saya sedikit kurang sihat seperti sesi parlimen yang lepas, tetapi masih hadir perbahasan parlimen untuk dengar ucapan wakil ketua pembangkang @Khairykj, dan sempat catat nota sambil rehatkan mata,” kata Guan Eng.

Marcus berkata walaupun ramai yang mengecam menteri kewangan berdasarkan gambar tersebut namun dia bangga mempunyai Lim sebagai bapanya.

“Bagi saya, beliau akan sentiasa menjadi seorang wira di hati saya.

“Di sini, saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak pembangkang kerana menyiarkan gambar berkenaan supaya membolehkan semua orang mengetahui bahawa ayah saya bekerja keras untuk negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here