Home KESIHATAN Kenapa Anda Perlu Kurangkan Berjogging?

Kenapa Anda Perlu Kurangkan Berjogging?

374
0
SHARE

Kegemaran rakyat Malaysia, terutamanya pada awal tahun dengan azam-azam baru, seperti hendak kuruskan badan, adalah berjogging. Sekarang, sudah beberapa bulan berlalu dalam tahun 2016, adakah anda masih konsisten dengan azam anda?

Selagi anda kekal aktif, tiada masalah untuk menjadi lebih sihat. Tetapi, kalau boleh anda kena kurangkan berjogging dan lebihkan latihan lain yang lebih memanfaatkan anda, seperti latihan bebanan dan rintangan. Bukan sekadar latihan tersebut menjadikan anda lebih kuat, malah ia membakar lemak jauh lebih cepat daripada berjogging!

Sekarang, kita kena lihat kenapa anda perlu kurangkan berjogging dalam aktiviti harian. Sebabnya, ada yang sampai berjogging tiap hari berjam-jam. Ini bukan benda yang bagus untuk badan, terutama pada sendi-sendi anda.

Definisi Jogging

Secara mudah, jogging adalah pergerakan seperti berlari tetapi dilakukan pada intensiti sederhana-rendah dan berterusan untuk sesuatu jarak atau masa yang telah ditetapkan. Biasanya, orang akan berjogging melebihi 20 minit sehingga 60 minit, dan ada juga yang akan berjogging sampai 2 jam.

Dua jenis orang yang suka berjogging; satunya yang kata jogging adalah cara terbaik untuk membakar lemak, dan keduanya adalah yang hendak menyertai acara marathon dan larian-larian lain. Kalau anda memang hendak jadi atlit larian jarak jauh, maka teruskan dengan berjogging. Jika anda hanya fokus untuk jadi lebih kurus, kurangkan berjogging!

Kenapa Perlu Kurangkan?

Dalam perjalanan untuk menjadi kurus, anda kena fikir satu lagi komponen penting selain bakar lemak, dan komponen ini tersangatlah penting untuk kesihatan dan mengekalkan berat badan dalam julat sihat, iaitu berkaitan jisim otot anda. Tahukah anda, berjogging dengan kerap dan lama lebih mudah untuk membakar otot berbanding lemak?

Bagaimana Ia Boleh Terjadi?

Badan kita berfungsi sebagai acuan dan air, di mana air akan mengikut bentuk acuan atau bekas yang dituangnya. Otot terbina dan terjaga melalui rintangan dan bebanan, atau kata lain latihan-latihan menggunakan pemberat (samada pemberat luaran seperti dumbbell ataupun senaman guna berat badan sendiri).

Berjogging tidak mencabar otot anda sebagaimana latihan kekuatan dan bebanan. Jadi, otot anda tiada sebab untuk dikekalkan. Badan anda akan berfikir, otot ini tiada fungsi untuk sekarang sebab tuan badan hanya fokus pada jogging dan ketahanan, kenapa perlu ia simpan otot tersebut? Lalu, badan mula menyingkirkan jisim otot.

Apa Yang Berlaku Seterusnya?

Dengan pengurangan jisim otot, metabolisme badan anda turut akan menurun. Kadar metabolisme badan anda akan menjadi rendah, dan ini menyukarkan anda untuk terus membakar lemak dan mengekalkan berat badan dalam julat sihat.

Kalau anda tidak percaya, lihat atlit-atlit larian jarak jauh. Kebanyakan mereka memang kurus, tetapi kurus dan kering. Ada juga yang nampak berisi dan masih boleh berlari jauh. Seperti yang dikatakan, larian sebegini boleh membakar jisim otot dan bukannya membakar lemak.

Sebaliknya, jika dilihat mereka yang berotot dan berbadan sasa, mereka masih berjogging (atau ada yang tidak berjogging langsung) tetapi frekuensi latihan jogging mereka adalah sangat kurang berbanding yang lain. Mereka mengutamakan latihan bebanan dan rintangan. Dan, inilah yang sepatutnya anda lakukan!

Kelebihan Latihan Bebanan Dan Rintangan

Semua orang boleh bergiat dengan latihan bebanan, tidak kira umur, jantina, dan status. Latihan bebanan turut digunakan pengamal perubatan seperti ahli fisioterapi untuk memulihkan kecederaan-kecederaan fizikal, menguatkan pesakit-pesakit kronik, dan macam-macam lagi! Jarang pula kita lihat mereka menyuruh pesakit untuk perbanyakkan jogging di masa petang.

Kelebihan yang anda perlu tahu melalui latihan bebanan dan rintangan adalah kebolehannya untuk menguatkan sendi, tulang, otot, imuniti badan, tahap kecergasan otak, fungsi libido, dan pelbagai lagi kebaikan lain. Boleh dikatakan, kelebihan-kelebihan ini ibarat khusus pada latihan bebanan dan rintangan, di mana latihan berjogging sukar untuk mendapatkan kelebihan yang sama.

Kalau anda masih belum terlibat dengan latihan bebanan dan rintangan, anda kena mulakan sekarang! Tidak semestinya anda perlu pergi ke gym kerana anda masih boleh lakukan latihan berat badan sepert Freeletics. Tetapi, jika berkesempatan, saya mengesyorkan anda untuk mendaftarkan diri ke gym berdekatan dan dapatkan bantuan dahulu untuk mengajar senaman. Ia adalah pelaburan yang sangat bijak!

SHARE

Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here