Home BISNES Jack Ma, Taikun Besar Dari China

Jack Ma, Taikun Besar Dari China

707
0
SHARE
Jack Ma

Jack Ma, Taikun Besar Dari China, atau nama sebenarnya Ma Yun, dilahirkan pada 15 Oktober 1964, di Hangzhou iaitu sebuah wilayah di tenggara negara China. Jack Ma dibesarkan di kalangan masyarakat miskin komunis China dan mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan.

Pada 1972, Hangzhou telah dilawati oleh Presiden Amerika Syarikat pada waktu itu, Richard Nixon. Setelah itu, Hangzhou telah menjadi tempat tarikan pelancong. Ramai pelancong dari Negara Eropah datang bercuti ke sana. Jack Ma berpendapat bahawa kemasukan pelancong asing ke tempatnya boleh memberi manfaat kepadanya kerana beliau boleh belajar secara terus Bahasa Inggeris melalui bahasa pertuturan mereka sendiri.

Beliau yang ketika itu masih remaja, bangun awal setiap hari dan berbasikal selama 40 minit dari rumahnya ke hotel untuk menjadi pemandu pelancong kepada pelancong-pelancong dari Eropah. Dari situlah beliau mendapat ramai kawan dari Eropah dan belajar Bahasa Inggeris dengan mereka. Malah nama “Jack” itu sendiri telah diberikan oleh salah seorang pelancong kepadanya yang sehingga kini beliau dikenali dengan nama Jack Ma.

Jack Ma
Jack Ma Ketika Remaja

Semangat yang ada pada Jack Ma wajar kita semua contohi dan ambil rujukan sebagai motivasi untuk berjaya. Semasa alam remaja, beliau telah gagal ujian peperiksaan untuk memasuki kolej sebanyak 2 kali dan pernah ditolak banyak kali untuk bekerja termasuk di KFC. Malah, pada permulaan kariernya, Jack Ma langsung tidak mempunyai pengalaman berkaitan komputer dan “coding”. Namun, beliau mula tertarik kepada internet apabila kali pertama menggunakannya ketika kunjungan pertamanya ke Amerika Syarikat.

Perkataan pertama yang dicari di internet oleh Jack Ma adalah “beer”. Dan beliau sangat terkejut kerana beliau tidak menjumpai satu pun syarikat dari China yang menjual “beer” di internet pada waktu itu.

Setelah itu, Jack Ma mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat yang berasaskan internet di China. Setelah 2 kali gagal, 4 tahun kemudian Jack Ma akhirnya telah mengumpulkan seramai 17 kawan-kawannya di apartment miliknya dan meyakinkan mereka untuk melabur bersama dalam meneruskan misinya menubuhkan sebuah pasaran dalam talian yang diberi nama “Alibaba”.

Alibaba merupakan syarikat perdagangan dalam talian terbesar di China. Malah ada juga berpendapat bahawa ianya merupakan yang terbesar di dunia. Di peringkat dunia, antara pesaing utama bagi syarikat Ali Baba ialah Amazon.com dan Ebay yang kedua-duanya berpangkalan di Amerika Syarikat.

Idea menubuhkan Alibaba tercetus apabila Jack Ma melihat ramai peniaga kecil di China tidak dapat mengembangkan perniagaan mereka untuk menjual kepada pembeli dari luar China. Bagi Jack Ma, di mana ada masalah, di situ adanya peluang bisnes! Beliau nekad untuk membantu peniaga kecil di China dengan menyediakan satu laman yang membolehkan peniaga di China menjual barang jualan mereka terus kepada pembeli di luar negara. Semakin hari, Alibaba telah berjaya menarik ramai peniaga seluruh dunia untuk menggunakan platform mereka.

Logo Alibaba
Logo Alibaba

Selain Alibaba, Jack Ma malalui Alibaba Group juga telah menubuhkan Taobao yang diasaskan pada 10 May 2003 yang memudahkan urusniaga pengguna-ke-pengguna. Taobao menyediakan platform untuk perniagaan kecil dan usahawan individu untuk membuka kedai online yang terutamanya bagi peniaga di kawasan-kawasan berbahasa Cina (tanah besar China, Hong Kong, Macau dan Taiwan) selain bagi peniaga di negara lain. Pada akhir tahun 2010, bilangan ahli berdaftar di Taobao telah mencapai lebih 370 juta, dan kira-kira 80% daripadanya adalah peniaga-peniaga berbahasa Cina.

Logo Taobao
Logo Taobao

Jika di Ebay menggunakan Paypal sebagai ‘online payment’, Jack Ma melalui Alibaba Group memperkenalkan Alipay untuk memudahkan pembayaran atas talian dan aktiviti jual-beli di platform mereka. Bagi memastikan tahap keselamatan transaksi yang tinggi dan bagi mengelakkan penipuan dalam jual-beli, Alipay hanya akan meluluskan bayaran kepada peniaga setelah pembeli menerima barang belian mereka dalam keadaan yang baik dan berpuas hati dengannya.

Logo Alipay
Logo Alipay

Pada April 2010 pula, Alibaba Group mengorak selangkah lagi ke hadapan dalam e-commerse dengan mewujudkan AliExpress di mana pasarannya menjadi semakin luas dengan menyediakan servis kepada pembeli di seluruh dunia termasuklah menyediakan akaun bagi negara Russia, Amerika Syarikat, Sepanyol, Brazil, Perancis dan United Kingdom. Orang di luar negara boleh terus membeli dari peniaga Cina dengan harga yang berpatutan melalui AliExpress.

Logo Aliexpress
Logo Aliexpress

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Jack Ma dalam mewujudkan impiannya wajar kita ambil teladan terutama bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan bisnes. Jack Ma yang pada mulanya hidup susah dan pernah gagal dalam peperiksaan tidak mudah mengaku kalah dalam mencapai impiannya. Baginya, di mana ada masalah, di situ ada peluang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here