Home HIBURAN Imam Muda Asyraf Melancarkan Album Solo Beliau

Imam Muda Asyraf Melancarkan Album Solo Beliau

1092
0
SHARE

Pemenang program realiti pencarian Imam Muda musim pertama, Imam Muda Asyraf kini tampil dengan album solo pertamanya yang bertajuk ‘Rahmatan Lil’ Alamin’ yang membawa maksud rahmat untuk sekalian alam.

“Setiap kali selepas berceramah atau memenuhi program motivasi diseluruh negara, pasti ada orang yang bertanyakan bila saya mahu buat album? Kerana kadang-kadang dalam ceramah saya, saya selitkan unsur nyanyian juga. Hampir tiga tahun mendengar soalan yang sama, saya berbincang dengan penerbit album ini, Hafiz Hamidun kerana saya tahu tentang kekurangan yang ada pada saya. Sebagai seorang yang lebih berpengalaman di dalam bidang nyanyian, Hafiz banyak mencorak dan memberi tunjuk ajar sehingga terhasilnya album ini,” ujar Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf bin Mohd Ridzuan.

Album pertamanya memuatkan sembilan buah lagu termasuk zikir, antaranya ‘Rahmatun Lil’ Alami’, ‘Ghuraba’, ‘Habibatan Kalimatan’, ‘Yahdi Man Yasha’ dan banyak lagi lagu-lagu menarik. Lebih istimewa lagi, lagu ‘Ummi’ yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi Haddad Alwi dirakamkan kembali oleh Asyraf, khusus untuk isterinya yang tercinta, Nurhusna Yusoff.

 

Imam Muda Asyraf Melancarkan Album Solo Beliau

 

 

Mengulas mengenai perbezaan di antara bidang ceramah dan bidang nyanyian, Asyraf menjelaskan dua bidang itu mempunyai perbezaan yang ketara.

“Jika dalam bidang ceramah, saya harus sentiasa menambah ilmu dengan pembacaan buku dan informasi kerana dalam setiap ceramah yang dihadiri, isi kandungannya berbeza. Manakala melalui lagu, ianya bergantung kepada kehebatan suara dan selalunya  lagu yang dinyanyikan adalah lagu yang sama,” luah bapa kepada seorang putera yang bernama Muhammad Aisy Raihan ini.

“Pengalaman pembikinan album sangat berbeza dengan pengalaman ketika berceramah. Saya akui saya gementar. Tapi dengan bantuan Hafiz, dia banyak memberi tunjuk ajar dan saya belajar sedikit demi sedikit. Rakaman lagu-lagu dalam album ini selalunya saya lakukan selepas jam 11 malam kerana hanya selepas waktu itu saya selesai dengan aktiviti ceramah.

“Sebenarnya saya takut dengan gelaran penyanyi. Saya takut dengan tanggapan orang. Apabila saya keluar dengan album, mesti ada yang berkata, “Eh dah jadi penyanyi pula?” Tetapi sebenarnya saya sudah mula menyanyi semenjak bergelar peserta program Imam Muda lagi. Saya kalau boleh tidak mahu digelar sebagai penyanyi, cukuplah jika saya hanya dikenali sebagai Imam Muda atau penceramah yang boleh menyanyi,” jelas Asyraf mengakhiri perbualan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here